• Main
  • News

Alhamdulillah… Syukuran Lillah.

https://www.facebook.com/reel/1116093664165318/" data-width="900" data-allowfullscreen="true">

ALHAMDULILLAH… SYUKURAN LILLAH.

Betapa mulianya tangan insan yang sentiasa menghulurkan bantuan, betapa indahnya hati insan yang ikhlas memberi tanpa mengharapkan balasan.

Tiada gambaran secantik lukisan untuk kami zahirkan, apatah lagi kata-kata yang mampu menggambarkan setinggi-tinggi penghargaan. Tiada bahasa yang cukup indah untuk memuji, tiada madah yang mampu membalas segala budi insan yang berhati mulia.

HANYA UCAPAN SETULUS KASIH, SEJUTA PENGHARGAAN DAN JUTAAN TERIMA KASIH kami rakamkan buat semua penginfak yang telah memberikan kepercayaan dan sokongan kepada kami dalam usaha mengindahkan serta memelihara Tanah Wakaf Raudhatul Sakinah, Ayer Molek, Melaka.

Jasa dan sumbangan kalian amat besar ertinya. Sesungguhnya, setiap huluran yang diberikan bukan sekadar bantuan berbentuk harta, bahkan menjadi bukti kasih sayang, keprihatinan dan amal kebajikan yang mudah-mudahan mendapat ganjaran daripada Allah SWT.

PENGHARGAAN KHAS BUAT JENTERA KERJA PENGGALI KUBUR RAUDHATUL SAKINAH AYER MOLEK

Terima kasih buat sahabat-sahabat seperjuangan yang sentiasa memberikan komitmen tanpa menghitung hari dan masa. Bekerja berbumbungkan langit, bertemankan terik mentari yang membakar tubuh, meredah panas dan hujan, dengan keringat yang membasahi bumi demi menyempurnakan amanah fardu kifayah.

Keringat yang menitis, tenaga yang dicurahkan dan masa yang dikorbankan mungkin tidak terlihat oleh mata manusia. Namun, mudah-mudahan semuanya menjadi saksi amal kebajikan di sisi Allah SWT.

Kalian berbakti dalam melaksanakan tuntutan fardu kifayah, bukan kerana kemewahan atau sanjungan, tetapi atas dasar tanggungjawab, persaudaraan dan keikhlasan. Sekadar sesuap nasi dan seteguk air mengalas perut, namun besar nilai pengorbanan yang dicurahkan.

WAHAI SAHABATKU… KALIANLAH WIRA DI MEDAN PUSARA.
Mungkin nama kalian tidak terpampang megah di dada akhbar. Mungkin jasa kalian tidak dikenang oleh semua orang. Namun, percayalah, setiap amal yang dilakukan dengan ikhlas tidak pernah tersembunyi daripada pengetahuan Allah SWT.

Tidak perlu dikenali manusia untuk menjadi insan yang mulia. Cukuplah Allah mengetahui segala pengorbanan, keikhlasan dan kebaikan yang kalian lakukan.

Mudah-mudahan nama kalian termasuk dalam kalangan hamba-Nya yang berbuat kebajikan, yang mendapat rahmat dan reda Allah SWT, serta dikurniakan ganjaran yang berlipat ganda di akhirat kelak.

UKHUWAH YANG TERBINA, AMANAH YANG DITERUSKAN
Dengan berkat ukhuwah dan silaturahim yang terjalin dalam kalangan sahabat Team Penggali Kubur Raudhatul Sakinah Ayer Molek, yang turut terbina bersama Allahyarham Tuan Haji Ali bin Haji Momin, kami terus melangkah dengan semangat persaudaraan dan nilai-nilai mahmudah yang menjadi teladan daripada arwah semasa hayatnya.

Daripada benih persahabatan, tumbuhlah rasa saling memahami. Daripada keikhlasan, lahirlah kepercayaan. Daripada kemuafakatan, terbinalah kekuatan.

Mudah-mudahan Allah SWT terus menyuburkan sifat ihsan dalam jiwa kita, melembutkan hati kita untuk membantu sesama insan, dan memelihara persaudaraan ini hingga ke akhir hayat.

Semoga Allah SWT turut merahmati Allahyarham Tuan Haji Ali bin Haji Momin, mengampuni segala dosanya, melapangkan kuburnya dan menempatkannya dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh. Amin ya Rabbal ‘alamin.

BUAT PARA PENGINFAK DAN SAHABAT-SAHABATKU SEKALIAN…
Biarlah si camar bebas berkeliaran di bendang yang berlumpur, dan biarlah si murai terus berkicau dengan suaranya yang nyaring. Kita tidak perlu membuang masa melayan segala suara yang tidak membawa manfaat.
Sebaliknya, marilah kita terus melangkah, berbakti dan melakukan kebaikan dengan penuh keikhlasan. Biarlah amalan menjadi bukti, bukan kata-kata menjadi ukuran.

In shaa Allah, setiap kebaikan yang kita usahakan bersama mudah-mudahan menjadi amal soleh yang diterima oleh Allah SWT. Semoga pahalanya turut menjadi asbab kebaikan dan rahmat buat insan-insan tersayang yang telah terlebih dahulu kembali ke alam barzakh, sebagaimana yang diharapkan dalam doa dan amalan kita.

Janganlah kita berputus asa dalam melakukan kebaikan. Selagi hayat dikandung badan, selagi itulah ruang untuk berbakti masih terbuka.

JADILAH SEPERTI SEGENGGAM LIDI YANG KUAT KERANA BERSATU.
Sebatang lidi mudah dipatahkan, tetapi segenggam lidi lebih kuat apabila terikat bersama.

Begitulah kita. Jangan biarkan perbezaan pendapat, prasangka atau hasutan nafsu memecah-belahkan persaudaraan yang telah sekian lama terbina.

Bersatulah dalam kebaikan. Berlapang dadalah dalam perbezaan. Berpegang teguhlah pada keikhlasan dan teruskanlah perjuangan dalam melaksanakan amanah fardu kifayah.

Semoga sekecil-kecil amalan yang kita lakukan menjadi bekalan menuju negeri abadi. Mudah-mudahan dengan rahmat Allah SWT, kita dikurniakan syurga-Nya dan dihimpunkan bersama Rasulullah SAW, para nabi, para siddiqin, para syuhada dan orang-orang soleh.
Amin ya Rabbal ‘alamin.

Ikhlas daripada kami,
TEAM PENGGALI KUBUR
RAUDHATUL SAKINAH
Ayer Molek, Melaka
━━━━━━━━━━━━━━━━━━

JANGAN MENUNGGU MASA UNTUK BERBUAT KEBAIKAN.
Walaupun hanya mengalihkan sebatang ranting yang menghalang laluan di tepi jalan, ia tetap suatu kebaikan.

TIDAK PERLU BERBANGGA MENJADI EMAS YANG BERKILAU.
Cukuplah menjadi air putih yang jernih, yang menghilangkan dahaga insan di sekeliling.
Kerana kemuliaan seseorang bukan terletak pada kemegahan yang dipamerkan, tetapi pada keikhlasan hati, manfaat yang diberikan dan kebaikan yang ditinggalkan.

Semoga hidup kita menjadi manfaat, kehadiran kita membawa rahmat, dan pemergian kita meninggalkan amal kebajikan. ????