• Main
  • News

Kisah Pengajaran Luqman Al-hakim Dan Keldai.

Kisah Pengajaran Luqman Al-hakim Dan Keldai.

Kisah Pengajaran Luqman al-Hakim dan Keldai.

Diceritakan bahawa pada suatu hari, Luqman al-Hakim berjalan bersama anaknya membawa seekor keldai.

Pada mulanya, Luqman menunggang keldai itu sementara anaknya berjalan.

Orang yang melihat berkata:
“Lihatlah orang tua itu! Dia menunggang, sedangkan anaknya berjalan.”

Lalu Luqman turun dan menyuruh anaknya menunggang.

Kemudian orang lain pula berkata:

“Lihatlah anak itu! Dia menunggang, sedangkan bapanya berjalan.”

Lalu Luqman dan anaknya sama-sama menunggang keldai.

Orang ramai berkata pula:

“Kasihan keldai itu, dua orang menunggangnya!”

Akhirnya Luqman dan anaknya turun dan berjalan bersama, sedangkan keldai itu berjalan tanpa ditunggang.

Orang ramai masih berkata:

“Bodohnya mereka! Ada keldai tetapi tidak ditunggang.”

Lalu Luqman berkata kepada anaknya lebih kurang:

“Wahai anakku, lihatlah! Apa sahaja yang kita lakukan, manusia tetap akan berkata-kata. Maka janganlah hidup kita bergantung kepada pandangan manusia. Yang penting ialah kita melakukan sesuatu dengan benar dan diredai Allah.”

Pengajaran.

- Kisah ini sangat baik dijadikan tazkirah tentang jangan terlalu mengejar pujian manusia.

- Kadang-kadang kita buat baik, orang kata kita menunjuk.

- Kita diam, orang kata sombong.

- Kita bersuara, orang kata banyak bercakap.

- Kita memberi, orang kata hendak dipuji.

- Kalau seluruh hidup kita mahu memuaskan hati manusia, kita tidak akan pernah selesai.

- Maka carilah redha Allah, bukan semata-mata redha manusia.

Nota:
Kisah ini bukan kisah yang disebut dalam al-Quran dan hadis Nabi ﷺ. Ia merupakan kisah/adab yang masyhur dinukilkan untuk pengajaran.

Kuliah Subuh
Jumaat 16 Safar 1448H
Oleh Ustaz Muhammad Faiz Abd Rahman.
Masjid Al-Khairiah Ayer Molek Melaka