ALHAMDULILLAH.
Dengan limpah keberkatan, rahmat dan kasih sayang-Mu yang mencurah-curah dari langit, ya Allah...
Pada hari ini kami berhimpun di Tanah Wakaf Raudhatul Sakinah untuk bersama-sama membaca tahlil dan memanjatkan doa buat seluruh arwah kaum Muslimin dan Muslimat. Secara khususnya buat Allahyarham Tuan Haji Ali bin Haji Momin, yang telah kembali ke rahmatullah dan kini genap tujuh hari pemergiannya.
Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih saya rakamkan kepada barisan hadapan Jentera Penggali Kubur Raudhatul Sakinah atas segala pengorbanan dan khidmat bakti yang dicurahkan.
Ucapan terima kasih juga kepada Al-Fadhil Tuan Imam Ustaz Rostame serta seluruh tuan-tuan dan puan-puan yang sudi hadir bersama. Walaupun tidak mampu saya menyebut nama seorang demi seorang, ketahuilah bahawa jasa dan kehadiran kalian amat saya hargai.
Walaupun pada hari ini hujan membasahi bumi yang bertuah ini, namun semangat muafakat yang telah dibina bersama Allahyarham Tuan Haji Ali sepanjang dua tahun yang lalu terus menyatukan hati-hati kita. Ukhwah yang terjalin semakin erat, bagaikan sebuah keluarga yang saling menyayangi.
Saya percaya, andai Allahyarham masih bersama kita pada hari ini, pasti akan terpancar kegembiraan di wajahnya melihat perpaduan dan kesepakatan yang terus utuh dalam kalangan kita.
Namun, sesungguhnya perancangan Allah SWT adalah sebaik-baik perancangan. Dia menjemput hamba-Nya pada waktu yang telah ditetapkan. Daripada Allahyarham, kita belajar tentang akhlak yang mulia; sifat sabar, keikhlasan dan kesyukuran yang wajar terus kita teladani.
Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham Tuan Haji Ali bin Haji Momin, mengampunkan segala dosanya, melapangkan kuburnya serta menempatkannya dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang soleh.
Semoga juga segala amalan, doa dan ibadah yang kita laksanakan pada hari ini diterima oleh Allah SWT serta menjadi bekalan yang bernilai buat kita semua apabila tiba saat kembali ke alam barzakh nanti.
Akhir kata, jutaan terima kasih sekali lagi kepada semua yang hadir. Tidak dilupakan buat Tok Hamizat yang sentiasa menyediakan juadah untuk para hadirin. Semoga Allah SWT membalas setiap kebaikan yang dilakukan dengan ganjaran yang berlipat ganda di dunia dan di akhirat.
Aamiin Ya Rabbal 'Alamin.