Bagaimana Al-Quran Diturunkan.
Al-Quran diturunkan daripada Allah SWT kepada Nabi Muhammad ﷺ melalui Malaikat Jibril a.s.
Firman Allah:
"Sesungguhnya Al-Quran itu benar-benar diturunkan oleh Tuhan sekalian alam. Dibawa turun oleh Ar-Ruh Al-Amin (Jibril)." (Surah Asy-Syu'ara': 192–193)
Penurunan berlaku dalam dua peringkat:
- Dari Lauh Mahfuz ke Baitul 'Izzah di langit dunia pada Lailatul Qadar.
- Kemudian diturunkan kepada Rasulullah ﷺ secara beransur-ansur selama kira-kira 23 tahun (13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah).
Hikmah diturunkan secara beransur-ansur.
- Menguatkan hati Rasulullah ﷺ.
- Memudahkan para sahabat menghafal dan memahami.
- Menjawab persoalan serta peristiwa yang berlaku.
- Memudahkan pelaksanaan hukum secara berperingkat.
Ayat Pertama Diturunkan
Menurut jumhur ulama, wahyu pertama ialah Surah Al-'Alaq ayat 1–5:
اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ...
Maksudnya:
"Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan..."
Peristiwa ini berlaku di Gua Hira' ketika Nabi ﷺ berumur 40 tahun.
Ayat Terakhir Diturunkan
Terdapat beberapa pendapat ulama. Pendapat yang paling masyhur ialah:
"Dan peliharalah dirimu daripada hari yang pada waktu itu kamu semua dikembalikan kepada Allah..."
(Surah Al-Baqarah: 281)
Ayat ini diturunkan beberapa hari sebelum kewafatan Rasulullah ﷺ.
Bagaimana Al-Quran Dikumpulkan
1. Zaman Rasulullah ﷺ
Wahyu dihafal oleh para sahabat.
- Ditulis pada pelepah tamar, tulang, kulit, batu nipis dan lain-lain.
- Penulis wahyu antaranya:
Zaid bin Thabit
Ubay bin Ka'ab
Ali bin Abi Talib
Mu'awiyah bin Abi Sufyan dan lain-lain.
2. Zaman Abu Bakar As-Siddiq RA
- Ramai penghafaz syahid dalam Perang Yamamah.
- Atas cadangan Umar al-Khattab RA, Al-Quran dikumpulkan dalam satu mushaf.
- Tugas ini dipimpin oleh Zaid bin Thabit RA.
- Mushaf tersebut disimpan oleh Abu Bakar, kemudian Umar, dan akhirnya Hafsah binti Umar RA.
3. Zaman Uthman bin Affan RA
- Berlaku perbezaan bacaan di beberapa negeri Islam.
- Khalifah Uthman membentuk jawatankuasa yang diketuai oleh Zaid bin Thabit.
- Mushaf disalin mengikut Rasm Uthmani.
- Salinan dihantar ke Mekah, Madinah, Kufah, Basrah, Syam dan wilayah lain.
- Mushaf lain yang bercanggah dimusnahkan bagi menyatukan bacaan umat Islam.
Kesimpulan
Al-Quran ialah kalam Allah yang dipelihara daripada sebarang perubahan.
Firman Allah SWT:
"Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan sesungguhnya Kamilah yang benar-benar memeliharanya."
(Surah Al-Hijr: 9)
Topik ini memberi kefahaman bahawa Al-Quran sampai kepada umat Islam melalui proses yang sangat teliti, dipelihara melalui hafazan, penulisan dan pengumpulan yang sahih sehingga kekal terpelihara hingga hari kiamat.
Nota kuliah maghrib malam ini
Sabtu 27 Jun 2026M
Malam 12 Muharram 1448H
Oleh Ustaz Abduk Razak Samsudin
Kitab Tafsir Quran di Radio - Ustaz Ahmad Sonhardji.
Masjid Ayer Molek